KENYATAAN AKHBAR: LZS PERJELAS ISU ‘KEKANGAN KEWANGAN’



SHAH ALAM, 4 Oktober 2011 – Berikut adalah maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) terhadap berita ‘Kekangan Kewangan’ yang tersiar di akhbar Sinar Harian pada 3 Oktober 2011. Menurut berita berkenaan, individu bernama Saharudin Johrari yang kini menghidap masalah jantung memohon keprihatinan masyarakat bagi membiayai baki kos rawatannya.

Beliau sebelum ini bukanlah asnaf fakir atau miskin, namun LZS telah meluluskan bantuan RM1,000 untuk menanggung sebahagian daripada kos rawatan penyakitnya di bawah asnaf gharimin. Berdasarkan berita yang tersiar, satu lawatan dan siasatan telah di lakukan di kediaman beliau demi melihat sendiri apakah keperluan utama mereka buat masa ini.

Sehubungan itu juga, LZS telah mengambil tindakan menguruskan segera keperluan berupa bantuan kewangan beliau, iaitu untuk melunaskan baki hutang perubatan sebanyak RM4,403.00. LZS juga akan menghubungi Jabatan Kerja Sosial Perubatan di Pusat Perubatan  Universiti Malaya untuk menilai jumlah kos rawatan sakit Angioplasty yang diperlukan dan menampung jumlah yang masih belum mencukupi bagi membolehkan rawatan dilakukan segera.