KENYATAAN AKHBAR: LZS AMBIL TINDAKAN SEGERA BANTU KELUARGA MISDAR



SHAH ALAM, 22 Mac 2012 – Berikut adalah maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) terhadap berita yang tersiar di akhbar Sinar Harian pada 16 Mac 2012, Berita Harian dan Harian Metro pada 17 Mac 2012. Menurut berita berkenaan, pengadu yang bernama Masdar bin Marhusin, 81 dan pasangannya serta anak lelaki mereka, tinggal di sebuah pondok dan amat memerlukan bantuan, khususnya sebuah rumah baharu yang lebih sempurna.

Sehubungan itu, LZS telah mengambil tindakan segera dengan menghantar pegawai pada hari yang sama ke rumah beliau. Hasilnya, LZS mendapati bahawa, beliau pernah berdaftar sebagai asnaf miskin di bawah LZS pada tahun 2008 hingga 2010 di daerah Kuala Langat.

Dalam tempoh tersebut, antara bantuan yang diterima beliau ialah, bantuan sewa rumah (RM220 sebulan), bantuan kewangan (RM250 sebulan) dan bantuan persiapan menyambut Ramadan dan hari raya. Walau bagaimanapun, semasa bancian semula asnaf dilakukan pada tahun 2010, beliau telah berpindah tanpa sebarang pemakluman kepada pihak LZS. Akibatnya, pembanci gagal mengesan beliau.

Lanjutan daripada laporan media, pada 16 Mac lalu, pihak LZS telah mengambil tindakan segera dengan memindahkan beliau ke Desa Ehsan Merbau Berdarah, sebuah penempatan berkelompok fakir dan miskin. LZS juga akan menyambung kembali bantuan-bantuan zakat yang pernah disalurkan kepada beliau sebelum ini bermula bulan ini. Dalam masa yang sama, LZS juga akan menguruskan untuk membina rumah untuk keluarga ini di atas tanah isteri Masdar, Zaharah Abdul Rahman di Bagan Terap.