KEMUDAHAN PEMBAYARAN ZAKAT LZS (MAIS) TARIK PERHATIAN KELANTAN



Shah Alam – Kemudahan pembayaran zakat melalui sistem elektronik yang disediakan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS menarik perhatian delegasi Kerajaan Negeri Kelantan untuk mengadakan lawatan kerja bagi meninjau keberkesanan kemudahan itu yang telah dipraktikkan oleh LZS (MAIS).

Ia juga sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri Kelantan untuk mewujudkan kemudahan pembayaran secara elektronik melalui portal Kerajaan Negeri Kelantan. Delegasi terdiri daripada Unit Perancangan Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN), Majlis-Majlis Daerah di Kelantan serta Majlis Agama Islam Kelantan dan diketuai oleh Timbalan Pengarah UPEN, Haji Wan Abdul Aziz Wan Jaafar telah diberikan taklimat selama satu jam oleh Ketua Bahagian ICT LZS (MAIS), Zaharuddin Kadiron.

Selain itu, para delegasi juga diberi demonstrasi berkenaan pembayaran zakat secara elektronik bagi memberi gambaran tentang kemudahan yang telah dilaksanakan itu.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengurus Jabatan Pembangunan Korporat, Sahadan Ishak dan Pengurus Jabatan Pentadbiran dan Kewangan, Aidi Munawir Ahmed Shukri.