KEMPEN ZAKAT DI HATI



SHAH ALAM, 15 Oktober 2014 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini melancarkan kempen ‘Zakat Di Hati’ bertemakan ‘Tanggungjawab Direalisasi’ bagi mendekatkan dan membudayakan ibadah zakat dalam kehidupan masyarakat Islam. Majlis pelancaran disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa bertempat di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini.

Penganjuran Kempen Zakat Di Hati merupakan kali ketiga diadakan, dilihat sebagai medium menyebarluaskan informasi berkaitan kutipan dan agihan zakat kepada masyarakat. Untuk tahun ini, ia akan berlangsung bermula hari ini sehingga 15 November dengan menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk masyarakat Islam di Selangor.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan aktiviti kutipan dan agihan zakat sepanjang kempen berlangsung, boleh melayari laman web LZS di http://www.zakatselangor.com.my/zakatdihatiatau hubungi Talian Zakat Selangor di 1-800-88-5353 atau melayarihttp://facebook.com/LembagaZakatSelangor.MAIS.

Selain itu bagi menyemarakkan lagi kempen, orang ramai boleh menyertai peraduan Selfie Zakat Di Hati dengan mengikuti instagram LZS dan memuat naik gambar selfie yang mempunyai nilai kreativiti keprihatinan ibadah zakat.

Sementara itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan kerjasama LZS dan Institut Latihan dan Dakwah Selangor (ILDAS) mengadakan program Wacana Umar Abdul Aziz melibatkan 1,000 orang peserta terdiri daripada pemegang tauliah JAIS, ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan, jabatan/Majlis Agama Islam Negeri, penolong amil institusi pengajian tinggi (IPT) dan NGO-NGO Islam.

Wacana ini memberi pendedahan berkenaan kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz sebagai pemimpin yang disegani dan kredibilitinya membangunkan institusi Baitulmal. Dalam masa yang sama, para peserta turut didedahkan dengan perkembangan pengurusan zakat terkini di Selangor.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAIS, Mohd Basori Omar.