KEMPEN ZAKAT DI HATI DILANCARKAN



SHAH ALAM, 7 Disember 2015 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini melancarkan kempen ‘Zakat Di Hati’ bertemakan ‘Bersama Kami Membantu Asnaf’ bagi menanam roh zakat dalam kalangan masyarakat agar kesedaran tentang kewajipan berzakat dapat disampaikan kepada golongan sasar.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali bersempena dengan Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor bertempat di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini.

Penganjuran Kempen Zakat Di Hati merupakan kali keempat diadakan, dilihat sebagai medium menyebarluaskan informasi berkaitan kutipan dan agihan zakat kepada masyarakat di Selangor. Ia akan berlangsung selama sebulan bermula 16 November hingga 16 Disember ini dengan menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk masyarakat Islam di Selangor.

Lebih 37 program disusun sepanjang kempen berlangsung di setiap daerah. Di antaranya aktiviti dakwah, kuiz zakat, operasi khas bersama majikan, forum perdana, kempen taksiran zakat niaga, khutbah zakat, agihan zakat dan slot bicara zakat@IKIM.FM.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan aktiviti kutipan dan agihan zakat sepanjang kempen berlangsung, boleh melayari laman web LZS di http://www.zakatselangor.com.my/zakatdihati atau hubungi Talian Zakat Selangor di 1-800-88-5353 atau melayari http://facebook.com/LembagaZakatSelangor.MAIS.

Sementara itu, LZS turut menyerahkan simbolik sumbangan elaun bagi guru-guru Kelas Fardu Ain (KAFA) berjumlah RM26,000,000 dan sumbangan bayaran buku teks sekolah rendah agama di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berjumlah RM500,000. Manakala, seorang individu, Iman Aisya Shaharom turut menerima bantuan perubatan bagi pembelian implan berjumlah RM30,000.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohamed Khusrin Munawi, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Husin Mohd Ali.