KEMPEN ZAKAT DI HATI: BUDAYAKAN IBADAH ZAKAT



SHAH ALAM, 3 November 2013 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini melancarkan kempen ‘Zakat Di Hati’ dengan tema ‘Ibadah Dihayati’ bagi mendekatkan dan membudayakan ibadah zakat dalam kehidupan masyarakat Islam.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Ahli Jawatankuasa Operasi Kutipan LZS, Dato’ Syed Mohd Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa.

Kempen Zakat Di Hati merupakan kesinambungan daripada kempen yang dilaksanakan pada tahun lalu, dilihat sebagai medium menyebarluaskan informasi berkaitan kutipan dan agihan zakat kepada masyarakat.

Untuk tahun ini, ia akan berlangsung sepanjang bulan November dengan menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk masyarakat Islam di Selangor. Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kempen, boleh melayari laman web LZS di http://www.zakatselangor.com.my/zakatdihati atau hubungi Talian Zakat Selangor di 1-800-88-5353 atau melayari http://facebook.com/LembagaZakatSelangor.MAIS.

Serentak dengan kempen ini juga, LZS melancarkan program pertamanya iaitu mini karnival dikenali sebagai ‘Dataran Berkat’. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah jualan di gerai usahawan asnaf zakat, kuiz zakat dan edaran risalah zakat kepada pengunjung pasar tani.

Turut diadakan penyampaian bantuan perniagaan berjumlah RM62,000 kepada tiga bakal usahawan terdiri daripada asnaf fakir dan miskin. Mereka ialah Zaini Ishak dan Mohd Nor Fadzir masing-masing menerima bantuan berjumlah RM30,000 dan RM24,000 bagi menjalankan perniagaan makanan. Sementara itu, Zaini Abu Bakar pula menerima bantuan zakat berjumlah RM8,000 untuk deposit teksi.

Hadir sama,  Pengurus Besar Kutipan, Roszy Non, Pengurus Besar Teknologi Maklumat, Zamariah Ismail dan Pengurus Besar Kewangan, Ahmad Nasaruddin Mohd Ali.