KEMPEN ‘8 TO 8’: ZAKAT SELANGOR GALAK MASYARAKAT BERZAKAT



 

SHAH ALAM, 27 September 2017 – Lembaga Zakat Selangor meningkatkan lagi usaha dakwah dengan melancarkan Kempen ‘8 To 8’ bagi menggalakkan masyarakat di Selangor mula dan menambah caruman bulanan zakat mengikut taksiran terkini melalui kemudahan pembayaran Skim Potongan Gaji (SPG).

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Hussin Mohd Ali di hadapan 100 orang wakil dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), badan berkanun dan anak-anak syarikat kerajaan Negeri Selangor bersempena Majlis Hi-Tea Bersama PBT, Badan Berkanun dan Anak Syarikat Negeri di sini hari ini.

Mengetengahkan tema ‘Berbahagia Dengan Memberi’, kempen ini telah bermula pada 15 Ogos sehingga 31 Disember 2017 bertujuan menggalakkan individu yang layak berzakat untuk mula mencarum zakat secara bulanan serendah RM8. Manakala bagi pencarum zakat sedia ada, disaran untuk mentaksir semula zakat serta menambah jumlah potongan zakat bulanan bagi menyantuni lapan golongan asnaf di Selangor.

Sehubungan itu, mereka yang ingin menyertai kempen ini boleh berbuat demikian dengan mentaksir semula zakat di 27 cawangan Zakat Selangor seluruh Selangor atau mengisi borang kebenaran secara atas talian di https://espg.zakatselangor.com.my.

Untuk makluman pada tahun 2016, Zakat Selangor telah mengutip zakat sebanyak RM673.7 juta. Daripada jumlah tersebut sebanyak RM287.3 juta disumbangkan melalui SPG melibatkan 180,000 pengeluar zakat di Selangor.

Sementara itu di majlis yang sama,  seramai 100 wakil dari PBT, badan berkanun dan anak syarikat negeri menghadiri sesi penerangan berkenaan Pelaksanaan Pekeliling Taksiran Zakat Warga Kerja Sektor Badan Berkanun Negeri Selangor.

Selain sesi penerangan, ia juga sebagai platform komunikasi antara Zakat Selangor dengan pihak majikan khususnya dalam penambahbaikan pengurusan potongan zakat bulanan, di samping menyebarkan maklumat terkini berkaitan pengurusan zakat terutamanya agihan zakat di Selangor.

Hadir sama, Timbalan Mufti Negeri Selangor, Dr. Anhar Opir dan Ketua Divisyen Kutipan, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.