KEMBARA AMAL MUBARAK 2006



Putrajaya – Skuad Dakwah Zakat (SDZ), Lembaga Zakat Selangor (MAIS) telah memulakan satu ekspedisi jelajah Selangor hari ini. Program itu dinamakan ‘Kembara Amal Mubarak 2006’ telah menggabungkan pelbagai entiti iaitu SDZ, Kelab WAJA, para wartawan dan wakil pelajar dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM).

Kembara itu adalah kali kedua diadakan dengan diperbesarkan skalanya ke peringkat negeri Selangor. Upacara pelepasan telah disempurnkan oleh pihak Orang Besar Daerah Sepang. Menyusul selepas itu ialah Ops Tol Perdana dengan mengedarkan bahan-bahan zakat yang telah disempurnakan oleh YAD Dato’ Setia Hj. Mohamad Adzib bin Mohd. Isa di Tol Grand Saga, Cheras.

Pada tengah harinya, majlis perasmian kaunter baru LZS (MAIS) Ke-21 di Cheras telah turut disempurnakan oleh YAD Dato’ Pengerusi MAIS. Kaunter baru berkenaan dijangka akan menjadi hub baru bagi kemudahan berzakat di sekitar Cheras.

Demi menzahirkan komitmen kepada asnaf muallaf, konvoi Kembara Amal Mubarak telah mengadakan Ziarah Dakwah ke perkampungan Orang Asli Ulu Kuang Gombak. Orang Besar Daerah Gombak dan pihak Pejabat Agama Islam Gombak telah turut serta memeriahkan lagi majlis berkenaan. Kehadiran yang amat dinanti-nantikan itu menyaksikan LZS (MAIS) telah menyampaikan bantuan alatan mengajar kepada pihak perkampungan berkenaan dan juga penyampaian beras kepada mereka. Jelas terpancar kegembiraan di wajah para saudara baru itu.

Pada sebelah malamnya, Forum Perdana bertajuk ‘Palestin di Hatiku’ telah mengisi slot kembara berkenaan. Program dijalankan dengan kerjasama Masjid Ar-Raudhah, Tanjung Karang. Ahli panel pada malam itu telah meniupkan semangat dan roh jihad di kalangan audiens tentang peri pentingnya umat Islam menghadapi asakan Yahudi dan membantu umat Islam di Asia Barat.

Hari kedua, program kembara menyelusuri khidmat masyarakat di Desa Kasih. Orang-orang kampung begitu setia menanti sehinggalah mereka bersama-sama mengecat surau. Namun tidak lama, kerana masa begitu cepat berlalu dan masih ada program sedia menunggu.

Kehadiran konvoi di Giant Shah Alam turut mendapat perhatian. Bukan setakat mengedar risalah zakat bahkan Tabung Bantuan Asia Barat turut diedarkan kepada para pengunjung. Anak-anak muda dan remaja jelas memberikan sokongan walau sekadar mengikhlaskan seringgit dua ke dalam tabung berkenaan.

Stesen Nat Seven TV atau NTV7 menanti lokasi seterusnya. Di sana, konvoi diraikan dalam majlis ringkas dan diberikan kesempatan menziarahi beberapa studio. Majlis penyerahan Tabung TBAB kepada Media Prima Berhad yang diwakili oleh NTV7 turut diadakan. Pada sebelah malamnya, NTV7 menyiarkan rakaman penyerahan itu, terima kasih NTV7!

Konvoi kemudiannya menikmati jamuan makan tengah hari di D’ Palma Inn, Shah Alam. Sungguh pun sedikit lewat kehadiran kami, namun pihak hotel setia menanti. Tidak lama, kerana agenda perlu dihabiskan kembali di IOI Resort Putrajaya.

Salam perpisahan akhirnya dilafazkan. Tuan Haji Ahmad Shahir selaku Pengurus Besar LZS (MAIS) amat berpuas hati dengan keseluruhan perjalanan program. Nyata, konvoi ini mampu menyerlahkan kewujudan LZS (MAIS) di mata masyarakat.

Sebelum doa dibacakan, sekalung pernghargaan buat Trafik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Selangor yang diketuai oleh Sarjan Zaki disampaikan. Syabas! Mereka begitu komited menjamin kelancaran konvoi sepanjang perjalanan. Begitu juga dengan komitmen berterusan dua orang paramedik dari Kajang Plaza Medical Centre, para wartawan dan tiga wakil pelajar UIAM.