KAUNTER ZAKAT BARU LZS KE 23 DIBUKA



Tarikh : 12/16/2009
Penulis : Editor

KLANG, 11 Disember 2009 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) membuka kaunter zakat yang ke 23 yang berada di Masjid Bandar Diraja Klang (berhampiran Pasar Jawa, Klang) mulai 11 Disember ini sempena Perasmian Masjid Bandar Diraja Klang yang disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Baginda juga berkenan melawat ke kaunter zakat LZS ini.

Pembukaan kaunter zakat ini bertujuan memberikan pilihan kepada masyarakat di sekitar daerah Klang untuk menunaikan zakat selain melalui kaunter zakat yang terletak di Kompleks MAIS, Klang. Kaunter yang disediakan ini juga dipastikan mempunyai ruangan menunggu selesa dan kondusif

Sementara itu, sepanjang Disember ini, kaunter-kaunter LZS di seluruh Selangor akan dibuka tujuh hari seminggu termasuk cuti umum. Waktu urusan adalah pada jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang pada hari Isnin hingga Jumaat, manakala pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum adalah pada jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang.

Manakala pada 31 Disember 2009, kaunter akan dibuka sehingga jam 8.00 malam. Semoga dengan bertambahnya kemudahan zakat ini akan memudahkan lagi urusan pembayaran zakat bagi masyarakat di Selangor khasnya.