KAUNTER MINI ZAKAT: MUDAHKAN URUSAN AGIHAN ASNAF



SHAH ALAM, 12 Mei 2014 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) membuka Kaunter Mini Zakat di daerah Klang, Kuala Langat dan Kuala Selangor bertujuan memudahkan urusan agihan zakat bagi para asnaf yang tinggal jauh dari cawangan LZS di daerah berkenaan.

Buat permulaan, Kaunter Mini Zakat ditempatkan di lokasi-lokasi terpilih yang mudah dikunjungi oleh asnaf di sekitar daerah berkenaan bermula pada pukul 10.00 pagi hingga 3.00 petang.

Menurut Pengurus Wilayah LZS, Zaidi Rasid “Masjid dan balai penghulu merupakan antara lokasi terpilih untuk Kaunter Mini Zakat kerana ia merupakan tempat tumpuan masyarakat. Di samping itu, lokasi yang dipilih itu mudah untuk dikunjungi dan tidak menyusahkan para asnaf untuk datang ke sana.”

Perkhidmatan yang disediakan di Kaunter Mini Zakat meliputi pertanyaan, pengambilan dan penghantaran borang bantuan zakat. Pada peringkat permulaan ini, Kaunter Mini Zakat hanya akan menawarkan perkhidmatan berkaitan agihan zakat sahaja, manakala perkhidmatan kutipan zakat masih melalui cawangan zakat di daerah.

Lokasi Kaunter Mini Zakat di Klang adalah di Masjid Al Islah, Kg. Telok Gong (pada setiap hari Rabu, minggu pertama), Masjid Jamiul Redzuan, Kg. Sg. Serdang Kapar (pada setiap hari Rabu, minggu kedua), Masjid Ar-Rahman, Pandamaran Jaya (pada setiap hari Rabu, minggu ketiga) dan Masjid Nurul Amin, Kg. Delek (pada setiap hari Rabu, minggu keempat).

Sementara Kaunter Mini Zakat di Kuala Langat melibatkan Balai Penghulu Mukim Tanjung 12 (2) (pada hari Selasa, minggu keempat), Balai Penghulu Mukim Batu (pada hari Rabu, minggu keempat) dan Masjid Al Hidayah, Telok Panglima Gong (pada hari Rabu, minggu keempat).

Manakala bagi daerah Kuala Selangor, Kaunter Mini Zakat dibuka pada setiap hari Rabu minggu kedua di Petronas Saujana Utama dan setiap Rabu minggu keempat di Petronas Puncak Alam Fasa 2.

LZS merancang untuk memperluaskan kemudahan Kaunter Mini Zakat ini ke semua daerah di Selangor.

Sebarang pertanyaan lanjut, hubungi Talian Zakat Selangor di 1-800-88-5353.