KAUNTER EKSPRES DILUASKAN KE 9 CAWANGAN SELURUH SELANGOR



SHAH ALAM, 23hb September 2011 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) meluaskan perkhidmatan kaunter ekspres agihan zakat ke sembilan cawangan utama di setiap daerah seluruh Selangor bagi membantu mereka yang berada di dalam kesempitan hidup dan memerlukan bantuan segera.
Sembilan cawangan yang menyediakan perkhidmatan ini ialah di Shah Alam (Bangunan Zakat Selangor),  Subang Jaya (Wisma  Dicor), Klang (Klang Sentral), Kuala Selangor (Bandar Malawati), Sungai Besar, Kuala Langat (Banting), Hulu Langat (Kajang), Hulu Selangor (Kuala Kubu Bharu) dan Gombak (Taman Melawati) yang mula beroperasi bermula 21 September.
Melalui kemudahan kaunter ekspres ini bantuan kadar segera akan disalurkan iaitu dalam masa dua jam selepas permohonan lengkap dengan kadar bantuan semaksimum RM500.
Kemudahan yang disediakan ini diharap dapat membantu mereka yang benar-benar berada di dalam kesempitan bagi meringankan bebanan mereka.  Antara bantuan yang disediakan ialah berkaitan keperluan asas seperti keperluan sara hidup akibat kehilangan pekerjaan, pendidikan, perubatan, tunggakan bil utiliti dan bantuan lain yang berkaitan desakan hidup dan kecemasan.
Walau bagaimanapun, pemohon perlulah menepati syarat-syarat pemohon kaunter ekspres ini antaranya menetap di Selangor selama tiga tahun, dokumen lengkap yang boleh membuktikan keadaan pemohon seperti salinan surat diberhentikan pekerjaan, bil-bil dan resit yang perlu dijelaskan segera, salinan kad pengenalan dan sebagainya.
Untuk maklumat lanjut berkaitan kaunter ekspres ini boleh hubungi Talian Zakat Selangor di 1 800 88 5353 atau layari www.zakatselangor.com.my.
Sebelum ini, kaunter ekpress ini telah beroperasi di kaunter zakat di ibu Pejabat, Bangunan Zakat Selangor Shah Alam sejak 10 Februari 2009.