KAUNTER EKSPRES AGIHAN ZAKAT DILANCARKAN



Tarikh : 4/17/2009
Penulis : Editor

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS melancarkan Kaunter Ekspres Agihan Zakat yang disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Y.A.D Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa di perkarangan Bangunan Sultan Idris Shah di sini.

Kaunter ekspres ini merupakan langkah awal LZS (MAIS) dalam strateginya melaksanakan transformasi penyampaian agihan zakat. Baru-baru ini LZS (MAIS) mengumumkan untuk melaksanakan perubahan dalam sistem penyampaian bantuan zakat melalui penambahbaikan sistem sedia ada. Antaranya termasuklah mempercepatkan penyaluran bantuan di bawah RM3,000 serta mengurangkan tempoh masa meluluskan bantuan di peringkat daerah.

Melalui pembukaan kaunter ekspres ini, bantuan dapat diberikan dengan kadar segera iaitu tempoh permohonan diluluskan hanya dalam masa dua jam dengan kadar bantuan maksimum sebanyak RM3,000. Bantuan yang diberikan ini merupakan bantuan asas seperti bantuan perubatan, yuran persekolahan, bil utiliti dan sewa rumah.

Mereka yang diberhentikan kerja juga boleh memohon untuk mendapatkan bantuan ini. Walau bagaimanapun hanya mereka yang diberhentikan kerja bermula penghujung tahun 2008 sahaja layak memohon dengan mengemukakan bukti pemberhentian. Sejak mula beroperasi 10hb Februari, LZS (MAIS) telah meluluskan 919 pemohonan bantuan melalui kaunter ekspres dengan jumlah bantuan sebanyak RM406,514.91.

Dalam majlis yang sama, LZS (MAIS) turut menyumbang 10 buah van jenazah kepada masjid bagi kegunaan di kariah masing-masing.