KASIHKU ZAKAT SELANGOR: PTPTN SERAH SUMBANGAN VAN



SHAH ALAM, 7 Ogos 2018 – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyerahkan sumbangan ‘Kasihku Zakat Selangor’ berjumlah RM385,858.08 berupa tiga buah van kepada tiga buah sekolah terpilih.
Tiga buah van ini diserahkan kepada SMK Damansara Utama , SMK Bandar Baru Bangi dan SK Bandar Seri Putra bagi kegunaan aktiviti pelajar-pelajar di luar sekolah.
Terdahulu, PTPTN pernah menyertai ‘Kasihku Zakat Selangor’ dengan menyerahkan sumbangan berjumlah RM115,750.00 kepada 2,315 murid tahun satu dalam kalangan keluarga asnaf fakir dan miskin yang berdaftar dengan LZS.
Sumbangan ini bagi pembukaan akaun Skim SImpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) dengan deposit RM50 setiap seorang. Pada masa sama, para pelajar turut menerima insentif geran sepadan berjumlah RM50.
Sehingga Ogos 2018, sebanyak 14 penyertaan dalam ‘Kasihku Zakat Selangor’ melibatkan jumlah sumbangan sebanyak RM2,641,519.54 telah dilaksanakan.
Untuk makluman, LZS telah memperkenalkan program ‘Kasihku Zakat Selangor’ bagi memberi ruang kepada pengeluar zakat terutama dalam kalangan syarikat korporat bersama-sama menyantuni keperluan penerima zakat di Selangor yang semakin meningkat.