KASIHKU ZAKAT SELANGOR: PESAKIT DIALISIS DAPAT MANFAAT SUMBANGAN MESIN HEMODIALISIS



SHAH ALAM, 19 Jun 2017 – Para pesakit dialisis di Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bakal mendapat manfaat daripada tiga unit mesin hemodialisis yang diterima melalui sumbangan program ‘Kasihku Zakat Selangor’ di sini hari ini.

Tiga unit mesin berkenaan merupakan sumbangan daripada dua syarikat yang menyatakan persetujuan menyertai program Kasihku Zakat Selangor melibatkan jumlah agihan semula zakat sebanyak RM140,000.00.

Syarikat tersebut ialah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang menyumbangkan semula wang zakat sebanyak RM100,000.00 dan Central Spectrum (M) Sdn. Bhd. sebanyak RM40,000.00.

Sumbangan mesin hemodialisis baharu ini dapat dimanfaaatkan kira-kira 28 orang pesakit buah pinggang yang mendapakan rawatan di pusat dialisis di sini, seterusnya meringankan beban pesakit khususnya dalam kalangan mereka yang berpendapatan rendah. Daripada jumlah tersebut, 23 orang merupakan pesakit yang dibiayai melalui bantuan zakat oleh Lembaga Zakat Selangor  (LZS).

LZS memperkenalkan program ‘Kasihku Zakat Selangor’ bagi memberi ruang kepada pengeluar zakat terutama dalam kalangan syarikat korporat bersama-sama menyantuni keperluan penerima zakat di Selangor yang semakin meningkat.

‘Kasihku Zakat Selangor’ diperkenalkan sebagai inisiatif kepada syarikat korporat yang mengeluarkan zakat sebanyak RM50,000 ke atas.

Melalui ‘Kasihku Zakat Selangor’, syarikat berkaitan boleh memohon agihan semula 3/8 atau 37.5 peratus daripada jumlah bayaran zakat yang dikeluarkan pada tahun semasa untuk diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin berdaftar dengan Zakat Selangor termasuk asnaf fisabilillah.

Wang zakat ini akan disalurkan berdasarkan empat pakej utama yang ditawarkan iaitu pakej bantuan pendidikan, bantuan modal, bantuan perubatan dan bantuan sosial.

Selain memberi ruang kepada pengeluar zakat membantu asnaf dengan lebih dekat lagi, ‘Kasihku Zakat Selangor’ merupakan platform kepada syarikat korporat meningkatkan sumbangan melalui peruntukan Tanggungjawab Sosial Syarikat (CSR).

Turut hadir, Pengerusi MAIS, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Noraida Mohd Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum (M) Sdn. Bhd, Mahmud Abbas dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Darul Ehsan (YIDE), Nur Razali Mohamad. Hadir sama, Ketua Divisyen Kutipan LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.