KASIHKU ZAKAT SELANGOR: BERI RUANG SYARIKAT KORPORAT SANTUNI PENERIMA ZAKAT



SHAH ALAM, 17 Mei 2017 – Lembaga Zakat Selangor memperkenalkan program ‘Kasihku Zakat Selangor’ bagi memberi ruang kepada pengeluar zakat terutama dalam kalangan syarikat korporat bersama-sama menyantuni keperluan penerima zakat di Selangor yang semakin meningkat.

‘Kasihku Zakat Selangor’ diperkenalkan sebagai inisiatif kepada syarikat korporat yang mengeluarkan zakat sebanyak RM50,000 ke atas.

Melalui ‘Kasihku Zakat Selangor’, syarikat berkaitan boleh memohon agihan semula 3/8 atau 37.5 peratus daripada jumlah bayaran zakat yang dikeluarkan pada tahun semasa untuk diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin berdaftar dengan Zakat Selangor termasuk asnaf fisabilillah.

Wang zakat ini akan disalurkan berdasarkan empat pakej utama yang ditawarkan iaitu pakej bantuan pendidikan, bantuan modal, bantuan perubatan dan bantuan sosial.

Selain memberi ruang kepada pengeluar zakat membantu asnaf dengan lebih dekat lagi, ‘Kasihku Zakat Selangor’ merupakan platform kepada syarikat korporat meningkatkan sumbangan melalui peruntukan Tanggungjawab Sosial Syarikat (CSR).

Dalam perkembangan yang sama, lima syarikat telah menyatakan persetujuan untuk menyertai program ‘Kasihku Zakat Selangor’ melibatkan jumlah agihan semula sebanyak RM509,600.

Mereka ialah Padiberas Nasional Berhad (Bernas) yang menyumbangkan semula wang zakat sebanyak RM400,000, Central Spectrum (M) Sdn. Bhd sebanyak RM100,000 dan Herbaworks

Healthcare Sdn. Bhd sebanyak RM5,000. Manakala Tan Sri A. Razak Ramli turut menyumbangkan semula zakat berjumlah RM4,600 di bawah pakej perubatan.

Hadir sama dalam majlis ini, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Hussin Mohd Ali.