KASIHKU ZAKAT SELANGOR: AGIH SEMULA 3/8 WANG ZAKAT



Shah Alam, 16 Jun 2017 – Dua syarikat dan individu yang merupakan pengeluar zakat di LZS telah menyatakan persetujuan menyertai program ‘Kasihku Zakat Selangor’ melibatkan jumlah agihan semula sebanyak RM219,300.00 dalam Majlis Bayaran Zakat Perniagaan di Wisma PKPS baru-baru ini.

‘Kasihku Zakat Selangor’ diperkenalkan sebagai inisiatif kepada syarikat korporat yang mengeluarkan zakat sebanyak RM50,000 ke atas.

Mereka ialah Etiqa Takaful Berhad yang menyumbangkan semula wang zakat sebanyak RM138,750.00 dan Almas Beauty & Health sebanyak RM41,550.00. Manakala Tan Sri Dato’ Paduka Ismee Ismail turut menyumbangkan semula zakat berjumlah RM39,000.00.

Melalui ‘Kasihku Zakat Selangor’, syarikat berkaitan boleh memohon agihan semula 3/8 atau 37.5 peratus daripada jumlah bayaran zakat yang dikeluarkan pada tahun semasa untuk diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin berdaftar dengan Zakat Selangor termasuk asnaf fisabilillah.

Turut hadir, Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid dan Setiausaha MAIS, Dato’ Bakhtiar Hussin. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali.