KASIHKU: DIPERKENALKAN UNTUK PENGELUAR ZAKAT KORPORAT AGIHKAN SEMULA ZAKAT



SHAH ALAM, 3 April 2017 – Lembaga Zakat Selangor memperkenalkan program ‘Kasihku’ bagi meraikan pengeluar zakat terutama dalam kalangan syarikat korporat mengagihkan semula 3/8 jumlah zakat dikeluarkan bertujuan menyantuni penerima zakat di Selangor.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Ahli Jawatankuasa Kutipan Zakat, Dato’ Syed Mohd Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa di hadapan lebih 70 tetamu jemputan terdiri daripada Ketua-ketua Pegawai Eksekutif dan pengurusan atasan syarikat korporat yang mengeluarkan zakat di Zakat Selangor.

‘Kasihku’ diperkenalkan sebagai inisiatif Zakat Selangor kepada syarikat korporat yang mengeluarkan zakat sebanyak RM50,000 ke atas.

Melalui ‘Kasihku’, syarikat boleh memohon semula 3/8 daripada zakat yang dikeluarkan untuk diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin berdaftar dengan Zakat Selangor. Wang zakat ini akan disalurkan berdasarkan empat pakej utama yang ditawarkan dalam program ‘Kasihku Zakat Selangor iaitu pakej bantuan pendidikan, bantuan modal, bantuan perubatan dan bantuan sosial.

Dalam majlis tersebut, enam syarikat korporat telah menyatakan persetujuan untuk menyertai program ‘Kasihku’ bagi menyantuni penerima zakat di Selangor.

Mereka ialah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang menyumbangkan semula wang zakat sebanyak RM300,000, SIRIM Berhad sebanyak RM200,000, Worldwide Holdings Berhad sebanyak RM120,000, Tekun Nasional yang menyumbang sebanyak RM33,271.31 dan MTU Services (Malaysia) sebanyak RM20,000. Manakala Tenaga Nasional Berhad menyumbangkan RM50,000 bagi tujuan pembinaan rumah di bawah pakej bantuan sosial.

Hadir sama dalam majlis ini, Timbalan Mufti Selangor, Dr. Haji Anhar Haji Opir dan Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Hussin Mohd Ali.