KARNIVAL ZAKAT TARIKAN DI SABAK BERNAM



Sabak Bernam– Lembaga Zakat Selangor (MAIS) menganjurkan Karnival Daerah Sabak Bernam yang berlangsung selama enam hari lima malam di Dataran Tonggak 10, Sungai Besar telah sempurna dirasmikan oleh YB Puan Noriah bt Kasnon, Ahli Parlimen Kawasan Sg. Besar merangkap Setiausaha Kementerian Penerangan Malaysia di sini pada 2 Februari.

Karnival anjuran bersama Pejabat Daerah Sabak Bernam dan Pejabat Agama Islam Daerah Sabak Bernam ini diadakan bersempena Bulan Zakat Negeri Selangor. Objektifnya antara lain memberi peluang kepada para peniaga muslim mempromosi produk dan meningkatkan jualan mereka disamping turut memasukkan agenda kewajipan zakat kepada para peniaga dan pengunjung.

Pengisian karnival ini antaranya ialah aktiviti jualan dan pameran, konsert Raihan, sketsa anti dadah Ali Mamak dan Abon, ceramah dan forum perdana, persembahan gamelan, sukaneka, pertandingan gubahan dan masakan, pertunjukan ‘Auto show’, pertandingan mewarna, kuiz zakat dan juga pertandingan nasyid.

Di samping itu, pada majlis perasmian lima buah syarikat tampil menyerahkan pembayaran zakat iaitu Gabungan APS Holding Sdn. Bhd., bernilai RM15,000.00; Uyin Enterprise (RM12,000.00); Pasaraya Sri Kassim (RM10,000.00); Klinik Nurul Huda (RM7,000.00) dan Apai Bina Sdn. Bhd sebanyak RM20,000.00.

Pada majlis sama LZS (MAIS) turut menyalurkan bantuan pembinaan rumah kepada Nor Azizan Saberan bernilai RM28,320.00; Halizah Mohamat Tahir (RM20,000.00) dan Mohd. Ridzwan Mohamed Salleh sebanyak RM20,000.00. Manakala dua orang asnaf menerima bantuan modal perniagaan iaitu Mohd. Razali Suratman yang menjalankan perniagaan ayam proses sebanyak RM7,000.00 dan Mahfuz Ismail yang menjalankan perniagaan makanan sebanyak RM9,500.00 serta bantuan tambahan pendidikan untuk 150 orang asnaf fakir/miskin berhampiran.

Turut hadir pada majlis perasmian ialah Haji Ahmad Shahir Makhtar, Pengurus Besar LZS (MAIS).