KARNIVAL MASJID 2009 ERAT HUBUNGAN LZS DENGAN MASYARAKAT



Tarikh : 7/22/2009
Penulis : Editor

Sungai Buloh – Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Masjid Bandar Baru Sungai Buloh berjaya menganjurkan Karnival Masjid 2009 yang dirasmikan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, Y.A.B Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim.

Karnival ini merupakan salah satu aktiviti yang dilaksanakan oleh LZS sempena Tahun Zakat Selangor 1430H. Karnival yang bermula dari 17hb hingga 19hb Julai ini diadakan bertujuan meningkatkan lagi usaha dakwah zakat di samping mengimarahkan institusi masjid kepada masyarakat. Selain itu melalui karnival tersebut, LZS turut dapat menyampaikan informasi zakat dan secara tidak langsung dapat memasyarakatkan institusi zakat.

Pelbagai aktiviti diadakan bagi memeriahkan karnival tiga hari dua malam ini. Antaranya pelbagai gerai jualan dan pameran, pertandingan mewarna, Forum Perdana, Pertandingan Azan, al-Quran, dan sebagainya.

Sebelum ini LZS telah mengadakan Karnival Masjid ini di dua buah masjid lain iaitu Masjid As-Syakirin, Gombak dan Masjid Al-Raudah, Tanjong Karang. LZS merancang untuk mengadakan karnival seumpama ini ke seluruh daerah di Negeri Selangor.