KARNIVAL HIMPUNAN ASNAF USAHAWAN SELANGOR BUKTI KEMAMPUAN GOLONGAN FAKIR MISKIN BERNIAGA



Tarikh : 1/1/2010
Penulis : Editor

Subang Jaya – Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS) menganjurkan Karnival Himpunan Asnaf Usahawan Selangor (HAUS) yang berlangsung selama dua hari bermula 23 hingga 24 Januari di Mydin Mall di sini.

Lebih 50 usahawan terdiri daripada golongan fakir miskin yang telah berjaya dalam perniagaan dihimpunkan di sini bagi membuktikan kepada masyarakat terhadap kemampuan mereka menjadi peniaga. Bermula dengan bantuan LZS, kesemua usahawan ini berpeluang untuk mempromosikan barangan mereka di samping membuat jaringan perniagaan dengan agensi-agensi kerajaan yang turut serta dalam karnival ini. Antaranya FAMA, MARA, MIDA serta Jabatan Pertanian.

Karnival ini juga menghimpunkan lebih 400 orang asnaf fakir dan miskin yang berpotensi
untuk menjadi usahawan bagi mendedahkan mereka tentang bidang keusahawanan melalui pelbagai aktiviti yang telah disusun.

Pada majlis yang sama, seramai 10 orang bakal usahawan menerima bantuan modal berjumlah RM130,463.65 daripada LZS. Antara yang menerima bantuan itu ialah Kasim Wahab bagi bantuan modal perikanan sebanyak RM16,830.00, Husni Mohd Mokhtar menerima bantuan modal perniagaan sewa kanopi sebanyak RM24,5050.00 dan Maspupah Husain menerima bantuan berjumlah RM15,267.00 untuk memulakan perniagaan warung.

Turut dilancarkan Projek Usahawan Asnaf LPG Gas, iaitu program keusahawanan gas domestik. Sebagai permulaan seramai tujuh orang peserta terdiri daripada asnaf zakat yang berpotensi dipilih dan menerima bantuan berbentuk lori, peralatan dan modal bernilai RM50,000.

Karnival ini dirasmikan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Y.Bhg Datuk Siti Maslamah Osman. Turut hadir, Pengurus Besar LZS, Ahmad Shahir Makhtar.