KADAR ZAKAT FITRAH DI SELANGOR RM7.00



SHAH ALAM, 2 Julai 2013 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menetapkan kadar zakat fitrah tahun ini bagi negeri Selangor adalah sebanyak RM7.00 seorang. Ketetapan jumlah zakat fitrah yang dikenakan ke atas umat Islam negeri inidiumumkan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa semasa Sidang Media Pengumuman Zakat Fitrah dan Hal Ehwal Zakat Negeri Selangor di sini hari ini.

Pada tahun ini, LZS mensasarkan sebanyak RM19 juta akan dikutip melalui zakat fitrah daripada kira-kira 2.7 juta umat Islam di Negeri Selangor.

Bagi memudahkan orang ramai membayar zakat fitrah di Selangor, LZS melantik seramai 2,600 orang ketua dan penolong amil fitrah di seluruh Selangor dan masyarakat Islam dinasihatkan agar membayar zakat fitrah hanya kepada amil dilantik oleh LZS yang dibekalkan kad tauliah.