KADAR ZAKAT FITRAH DI SELANGOR KEKAL RM7



 

SHAH ALAM, 15 Jun 2015 – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengekalkan kadar zakat fitrah yang ditetapkan untuk umat Islam di negeri Selangor pada tahun ini iaitu 2015M/1436H kekal RM7.00 seorang, sama seperti tahun sebelumnya.

Bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat fitrah, Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah melantik seramai 2,422 ketua dan penolong amil fitrah di seluruh Selangor sepanjang bulan Ramadan ini. Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan untuk menunaikan zakat fitrah hanya kepada amil yang telah dilantik oleh LZS, yang mempunyai kad tauliah dan sijil lantikan yang sah.

Selain itu, orang ramai juga boleh menunaikan zakat fitrah di 26 buah cawangan LZS di seluruh Selangor, di samping beberapa pasar raya terpilih di sekitar Lembah Klang. Zakat fitrah juga boleh ditunaikan melalui penolong amil IPT di 10 buah IPT di seluruh Selangor.

LZS turut menyediakan kemudahan pembayaran zakat fitrah melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dengan kerjasama syarikat telekomunikasi Digi. Ia terbuka kepada pelanggan pra bayar dan pasca bayar Digi yang mana nilai bayaran zakat fitrah akan dicaj pada bil atau ditolak daripada nilai kredit.

Pada tahun ini, LZS mensasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM21.5 juta daripada umat Islam di negeri Selangor.