KADAR ZAKAT FITRAH DI SELANGOR KEKAL RM7



SHAH ALAM, 6 Jun 2016 – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengekalkan kadar zakat fitrah yang ditetapkan untuk umat Islam di negeri Selangor pada tahun ini iaitu 2016M/1437H kekal RM7.00 seorang, sama seperti tahun sebelumnya.

Bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat fitrah, Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) telah melantik seramai 2,569 ketua dan penolong amil fitrah di seluruh Selangor sepanjang bulan Ramadan ini. Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan untuk menunaikan zakat fitrah hanya kepada amil yang telah dilantik oleh Zakat Selangor, yang mempunyai kad tauliah dan sijil lantikan yang sah.

Selain itu, orang ramai juga boleh menunaikan zakat fitrah di 28 buah cawangan Zakat Selangor di seluruh Selangor, di samping beberapa pasar raya terpilih di sekitar Lembah Klang. Zakat fitrah juga boleh ditunaikan melalui penolong amil IPT di 13 buah IPT di seluruh Selangor.

LZS turut menyediakan kemudahan pembayaran zakat fitrah melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dengan kerjasama syarikat telekomunikasi Digi. Ia terbuka kepada pelanggan pra bayar dan pasca bayar Digi yang mana nilai bayaran zakat fitrah akan dicaj pada bil atau ditolak daripada nilai kredit.

Pada tahun ini, LZS mensasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM22.5 juta daripada umat Islam di negeri Selangor.

Dalam perkembangan yang sama, LZS akan membuka 28 cawangannya di seluruh Selangor selama tujuh hari seminggu termasuk cuti umum sepanjang Ramadan ini, bagi memudahkan masyarakat untuk menunaikan zakat harta dan fitrah. Waktu urusan pada hari bekerja bermula dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang. Manakala pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, cawangan LZS akan dibuka bermula 9.00 pagi hingga 3.00 petang.