JELAJAH KASIH: KONGSI PENGALAMAN AGIHAN ZAKAT



SHAH ALAM, 5 Jun 2014 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengadakan program Jelajah Kasih dengan membawa pengeluar zakat terdiri daripada syarikat-syarikat korporat bagi berkongsi pengalaman agihan zakat di Selangor.

Program yang julung kali diadakan ini bertujuan memberi pendedahan aktiviti agihan secara langsung kepada pengeluar zakat, di samping mendapatkan maklum balas secara terus terhadap keberkesanan agihan zakat yang dilaksanakan di Selangor.

Para peserta delegasi terdiri daripada empat syarikat korporat iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Maybank Islamic Berhad, Brahim’s Airline Catering Sdn Bhd dan Sirim QAS International Sdn Bhd.

Dalam program tersebut, para peserta turut dibawa meninjau perniagaan dijalankan oleh dua orang asnaf zakat yang telah menerima bantuan modal dari LZS. Mereka ialah Noraini Abdul Hamid dan Sulaiman Abdullah yang masing-masing menjalankan perniagaan makanan di sekitar Sungai Besar, Sabak Bernam.

Selain itu dalam program yang sama, PKNS menyerahkan sumbangan berjumlah RM100,000 kepada Sekolah Maahad Tahfiz Sains Bagan Terap yang disampaikan oleh Pemangku Pengurus Besar PKNS, Haji Azlan Md. Alifiah. Sumbangan diberikan bertujuan untuk kegunaan pembangunan sekolah bagi melahirkan pelajar tahfiz yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang agama malahan juga akademik.

Hadir sama, Pengurus Besar Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif, Sahadan Ishak dan Pengurus Besar Kutipan, Roszy Non.

Leave a Reply