JELAJAH KASIH BERSAMA ASNAF: KONGSI PENGALAMAN AGIHAN ZAKAT



SHAH ALAM, 12 November 2014 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengadakan program Jelajah Kasih Bersama Asnaf dengan membawa pengeluar zakat terdiri daripada syarikat-syarikat korporat bagi berkongsi pengalaman agihan zakat di Selangor.

Program ini bertujuan memberi pendedahan aktiviti agihan secara langsung kepada pengeluar zakat, di samping mendapatkan maklum balas secara terus terhadap keberkesanan agihan zakat yang dilaksanakan di Selangor. Selain itu, ia mampu mendekatkan pengeluar zakat dengan asnaf dengan melihat sendiri realiti kehidupan mereka.

Para peserta delegasi terdiri daripada lapan syarikat korporat iaitu Glomac Berhad, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Agro Bank Berhad, Altel Communication Sdn Bhd, MyEG Services Berhad, Worldwide Holding Berhad, Kumpulan Perangsang Selangor dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Dalam program tersebut, para peserta dibawa meninjau perniagaan dijalankan oleh tiga orang asnaf zakat yang telah menerima bantuan modal dari LZS. Mereka ialah Zolkifli Mat Desa yang menjalankan perniagaan soya, Ramlan Mohamad yang menerima bantuan zakat untuk perniagaan roti serta Nazri Abdullah yang menjalankan perniagaan cili giling.

Mereka turut dibawa ke Kompleks Baitul Hasanah yang merupakan asrama bagi anak-anak asnaf fakir dan miskin di Selangor dan Pusat Jagaan Warga Emas Zakat Selangor. Ia dibangunkan hasil daripada manfaat zakat di Selangor.

Hadir sama, Ahli Jawatankuasa Operasi Agihan LZS, Dato’ Ibrahim Md Yusoff dan Pengurus Besar Kutipan, Roszy Non.