JEJAK ILMUAN KE INSTITUT KAJIAN HADIS SELANGOR



Tarikh : 7/7/2009
Penulis : Mohd Hatta Zainal Abidin

Bangi – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS melalui Bahagian Majikan Jabatan Dakwah dan Kutipan, LZS mengadakan kunjungan muhibah ke Institut Kajian Hadis Selangor (INHAD) bertempat di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) baru-baru ini.

Program yang dinamakan Jejak Ilmuan siri pertama 2009 ini, memberi peluang untuk bertukar-tukar pandangan dengan golongan akademik terutama dalam memberi idea memastikan perlaksanaan kutipan dan agihan di LZS dapat dijalankan dengan lebih lancar.

Menurut Ketua Bahagian Majikan JDK, Azhar Yahya Arif, Program Jejak Ilmuan merupakan antara program perkongsian strategik antara LZSbersama para ilmuan dalam berkongsi pengalaman serta pendapat yang boleh dijadikan asas dalam membentuk strategi pengurusan kutipan dan agihan zakat di Negeri Selangor.

“Peranan INHAD dalam memartabat institusi zakat tidak boleh dipandang enteng kerana INHAD juga merupakan antara sumber maklumat rujukan LZS dalam mengenal pasti hadis yang boleh dijadikan hujah dan sandaran dalam melaksanakan beberapa keputusan berkaitan zakat di negeri Selangor,” jelas beliau.