JEJAK BERKAT AGIH 1,000 UNIT PERALATAN IBADAH



Tarikh : 1/1/2009
Penulis : Muhammad Taufiq Mohamed Saaid

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) (MAIS) menganjurkan Ops Jejak Berkat dengan menyampaikan peralatan ibadah berupa 1,000 unit telekung dan sejadah kepada surau di syarikat-syarikat terpilih di Negeri Selangor bermula 21 April.

Peralatan ibadah yang diserahkan adalah merupakan sebahagian daripada peruntukan zakat untuk institusi agama yang diserahkan semula kepada masyarakat melalui peruntukan asnaf fisabilillah untuk kegunaan masyarakat khususnya di surau dan masjid di Negeri Selangor.

Menurut Pengarah Ops Jejak Berkat, Mohd Syahril Zainol matlamat utama Ops Jejak Berkat untuk memperhebatkan kempen promosi Skim Berkat melalui penghayatan terhadap dana wang zakat. Ia juga diharap boleh dimanfaatkan semula oleh pembayar zakat melalui peralatan ibadah yang diserahkan kepada surau syarikat yang telah membuat bayaran zakat melalui potongan gaji untuk kakitangan.

“Kejayaan LZS (MAIS) di dalam mengutip serta mengagihkan dana zakat selama ini adalah hasil dari kepercayaan dan keyakinan umat Islam terhadap sistem pengurusan cekap yang diamalkan oleh LZS (MAIS). Pengagihan peralatan ibadah kepada surau di syarikat ini merupakan iltizam dan komited LZS (MAIS) dalam membangunkan ummah madani di negeri Selangor ” ujar beliau.

Sementara itu satu majlis ringkas pelancaran Ops Jejak Berkat telah berlangsung di Permanis Sdn Bhd dengan dihadiri oleh Ketua Bahagian Majikan, Azhar Yahya Arif dan Pengurus Kanan Jabatan Sumber Manusia Permanis Sdn Bhd, Azaruddin Othman.