JEFERI TERIMA BANTUAN ZAKAT: KECUALI BANTUAN KEWANGAN BULANAN



Tarikh : 10/12/2010
Penulis : editor

SHAH ALAM, 8 Oktober 2010 – Berikut adalah maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) terhadap berita ‘Pesakit Kritikal Rayu Bantuan’ yang tersiar di akhbar Sinar Harian pada 6 Oktober 2010.

Menurut laporan akhbar berkenaan Jeferi Ismail yang mengidap penyakit buah pinggang, memerlukan bantuan bagi meringankan kehidupan beliau sekeluarga. Jeferi Ismail juga menyatakan bahawa beliau tidak lagi menerima bantuan daripada LZS.

Hasil semakan LZS, didapati Jeferi Ismail sebenarnya adalah asnaf miskin yang telah mendapat bantuan daripada LZS sejak tahun 2008 lagi. Antara bantuan yang diterima ialah bantuan hari raya, bantuan makanan bulanan dan bantuan persekolahan anak.

Sehubungan itu, LZS tidak pernah memberhentikan bantuan zakat kepada Jefri Ismail kecuali bantuan kewangan bulanan yang diberhentikan bermula bulan Jun lalu kerana tidak layak. Ini kerana hasil semakan didapati pendapatan isi rumah Jefri Ismail adalah berjumlah RM1,508 sebulan. Jumlah ini melebihi syarat kelayakan iaitu RM1,200 sebulan (berdasarkan keperluan asasi sebenar untuk sebulan).

Selain sumbangan anak-anak, beliau juga menerima bantuan daripada JKM sebanyak RM300 sebulan, manakala Isteri beliau juga mendapat bayaran RM250 sebulan hasil penjagaan anak jiran.

Berkaitan dengan penyakit yang dihidapinya, beliau menerima bantuan dialisis sepenuhnya daripada SOCSO. Walaubagaimanapun, LZS akan menanggung kos-kos rawatan tambahan seperti suntikan Aprex (suntikan bagi mencairkan darah).

Surat pemberitahuan pemberhentian bantuan kewangan bulanan ini telah dihantar kepada beliau pada 16 Jun 2010.

Untuk makluman, setiap enam bulan, LZS akan membuat semakan semula terhadap kelayakan penerima bantuan kewangan bulanan bagi semua asnaf fakir dan miskin di seluruh Selangor.

Ia bertujuan bagi memastikan mereka yang menerima bantuan ini benar-benar layak dan memerlukan. Bantuan kewangan bulanan adalah salah satu bantuan kepada asnaf fakir miskin yang bersifat sementara sahaja bergantung kepada keadaan ekonomi dan kehidupan asnaf. Jika asnaf ada menerima bantuan lain dan keadaan ekonomi dan kehidupan mereka semakin stabil, bantuan akan dihentikan bagi memberi peluang kepada mereka yang lebih memerlukan.