INTIM’ 06: ZIARAH KORPORAT DAN KHIDMAT MASYARAKAT



Hulu Selangor – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS, Wilayah Timur telah menganjurkan program Ikatan Tautan Mahabbah 2006 (INTIM ’06) bertempat di sekitar Sungai Selisek, di sini pada 30 April yang lalu.

Matlamat penganjuran program adalah bagi memberi peluang kepada para pembayar zakat korporat untuk turut sama melibatkan diri di dalam menyampaikan bantuan zakat kepada asnaf miskin setempat di samping melaksanakan aktivti khidmat masyarakat.

Menurut pengarah program, Muhammad Rizal Jalil, sebanyak lima buah rumah asnaf miskin telah diziarahi termasuk sebuah rumah asnaf yang telah dipilih untuk diadakan aktiviti gotong-royong. Seramai 20 orang pembayar korporat termasuk kakitangan LZS (MAIS) Wilayah Timur dan masyarakat setempat turut serta di dalam menjayakan program tersebut.

Selain menyampaikan bantuan berupa hamper, barangan keperluan dapur dan dua buah basikal, bantuan kewangan bulanan turut disampaikan pada majlis tersebut. Para jemputan juga diberikan penerangan tentang pelaksanaan agihan zakat di Selangor oleh Ketua Operasi Wilayah Timur, Muhammad Rizal Shah Harudin.