HARI KERJAYA ASNAF – PELUANG PEKERJAAN KEPADA PENERIMA ZAKAT



SHAH ALAM, 22 OKTOBER 2011 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Pusat Pembangunan Usahawan Asnaf Zakat (PPUAZ) melancarkan Hari Kerjaya Asnaf Zakat Selangor 2011 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Program yang julung-julung kali diadakan ini dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, LZS Tuan Hj Mohamed Izam Mohamed Yusof.

Seramai 360 orang asnaf zakat mengambil bahagian dan mereka berpeluang menghadiri temuduga terbuka bersama lima buah syarikat yang mengambil bahagian, iaitu Juara Saji Sdn. Bhd., Sani Express Sdn. Bhd., Oyl Manufacturing Sdn. Bhd., Selangor Food Industries Sdn. Bhd. dan Perfisio Solutions Sdn. Bhd. Dianggarkan hampir 300 kekosongan jawatan disediakan.

Program ini dijangka bakal diadakan saban tahun. Ia dapat memasarkan tenaga kerja dalam kalangan asnaf zakat, khususnya bagi anak-anak asnaf yang sudah menamatkan alam pendidikan, sama ada di peringkat persekolahan menengah mahupun di peringkat institusi pengajian tinggi.

Turut hadir ke program ini ialah Datuk Ibrahim Md. Yusof, Ahli Jawatankuasa Agihan LZS merangkap Pengerusi PPUAZ.