HAMPIR RM18 JUTA BANTU PERSEDIAAN PERSEKOLAHAN LEBIH 32 RIBU



Shah Alam, 19 November 2012 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan bantuan zakat sebanyak RM18.042 juta kepada seramai 32,919 orang pelajar anak asnaf fakir dan miskin bagi membantu meringankan bebanan ibu bapa terutamanya membiayai kelengkapan dan yuran persekolahan untuk sesi persekolahan 2013.

Setiap keluarga akan menerima bantuan yuran dan keperluan peralatan persekolahan mengikut jumlah tanggungan; maksimum sehingga RM2,000. Pemberian bantuan ini meliputi semua peringkat umur iaitu pra sekolah seramai 1,405 orang, sekolah rendah kebangsaan/ sekolah rendah agama (15,475 orang), sekolah menengah kebangsaan (15,191 orang) dan sekolah menengah agama (848 orang).

Bagi pelajar sekolah rendah kebangsaan dan rendah agama, masing-masing menerima sebanyak RM150 untuk bantuan yuran persekolahan. Manakala bagi pelajar sekolah menengah kebangsaan dan menengah agama sebanyak RM250. Sementara pelajar tadika RM100 setiap seorang. Setiap pelajar turut menerima bantuan keperluan peralatan persekolahan sebanyak RM100.

Di samping itu, mereka juga turut menerima bantuan berbentuk pakaian sekolah bernilai antara RM150 hingga RM200 yang diberi dalam bentuk baucar untuk ditukarkan di pasaraya Mydin dan Sakan.

Majlis penyerahan bantuan di bawah Program Pembangunan Pendidikan ini bermula 17 November yang lalu hingga 29 November ini melibatkan 29 program di seluruh Selangor.

Leave a Reply