HAMPIR 3,000 KUNJUNGI RAUDAH DIHATIKU: DI TAMAN MALAWATI



Ulu Klang–Lembaga Zakat Selangor (LZS) meneruskan penyebaran maklumat zakat terutamanya maklumat agihan zakat kepada masyarakat melalui Program Raudah Dihatiku di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati pada 1 Oktober dan hampir 3,000 penduduk mengunjungi program ini.

Program Raudah Di Hatiku anjuran TV9 dengan kerjasama LZS dan pihak masjid kali ini lebih menarik apabila pengunjung boleh bertemu sendiri dengan selebriti TV9 sambil mengunjungi hampir 20 gerai pelbagai jualan.

Melalui peluang ini, sekali lagi LZS membuka gerai yang mempamerkan projek-projek keusahawanan asnaf fakir dan miskin seperti produk tepung segera, kraf tangan, mesin jahit dan pakaian sekolah. Selain itu, sebuah gerai bergerak asnaf yang dijenamakan sebagai My Burger turut dibuka.

Melalui usaha ini, masyarakat dapat menyaksikan sendiri kejayaan penerima zakat melalui wang zakat yang mereka tunaikan kepada LZS. Mereka turut berpeluang bersua muka dan berbual sendiri dengan penerima bantuan sambil menyaksikan demonstrasi penghasilan produk kraf dan merasai burger yang disediakan.

Selain itu, pelbagai risalah berkaitan agihan diedarkan dan Kaunter Bergerak turut dibuka bagi memudahkan masyarakat menunaikan zakat selain mengedarkan belon bagi mempromosikan Talian Zakat Selangor iaitu 1-800- 88-5353.

Selain itu pengunjung juga dapat menyaksikan rakaman Tanyalah Ustaz bersama Ustaz Zahazan Mohammad dan rakaman Tanyalah Ustazah bersama Ustazah Norhafizah Musa. Turut diadakan persembahan kumpulan nasyid Al-Mawlid dan sesi bertemu selebriti.

Pihak masjid turut menyediakan makanan percuma untuk pengunjung seperti ayam golek, kamping bakar dan sebagainya. Melalui program ini, ia dapat mengimarahkan lagi masjid sebagi pusat komuniti masyarakat melalui pelbagai aktiviti menarik yang diadakan.

Program Raudah Dihatiku ini akan diteruskan lagi di di Masjid Al-Falah USJ, Subang Jaya pada 22 Oktober. Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan lagi program ini.