#FREEMARKETLZS AJAK MASYARAKAT MENYUMBANG



SHAH ALAM, 21 Jun 2014 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengajak masyarakat untuk menyumbang dengan menganjurkan program berbentuk amal dikenali #FreeMarketLZS bertempat di Perpustakaan Raja Tun Uda di sini hari ini.

Program yang mendapat kerjasama dari Kumpulan Free Market dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor ini merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) LZS. Ia diadakan bersempena dengan Majlis Tilawah Al-Quran Braille 2014.

Apa yang menarik program #FreeMarket LZS menggalakkan para pengunjung yang hadir menyumbangkan barangan sama ada yang masih baru ataupun terpakai, untuk diberikan secara percuma kepada mereka yang memerlukan.

#FreeMarket LZS merupakan satu pendekatan untuk membuat kebajikan yang unik, sekali gus menjadi platform untuk menghubungkan mereka yang mempunyai sesuatu dengan mereka yang memerlukan. Ia dilihat dapat menyemai sikap berkongsi, di samping membentuk nilai-nilai murni dalam kehidupan.

Lebih istimewa, seramai 100 orang asnaf hadi untuk sama-sama menyertai program dan membawa pulang barang-barang yang dipamerkan.