#FREEMARKET LZS: AJAK MASYARAKAT MENYUMBANG



SHAH ALAM, 3 Disember 2016 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengajak masyarakat untuk menyumbang dengan menganjurkan program berbentuk amal dikenali #FreeMarket LZS bertempat di Masjid Sekyen 7, Shah Alam hari ini.

Program yang mendapat kerjasama dari grup facebook Shah Alam Residents (SAR), Shah Alam Komuniti (SAKOM), Pertubuhan Mawaddah, MPP Zon 3 dan Masjid Seksyen 7, telah menarik perhatian hampir 300 orang pengunjung terdiri daripada masyarakat setempat dan juga asnaf LZS di sekitar daerah Petaling dan Klang.

#FreeMarket LZS merupakan program Tanggungjawab Sosial Zakat (CZR) yang diperkenalkan sejak tahun 2013. Ia akan diadakan dua kali setahun oleh LZS iaitu sempena menjelang Ramadan dan akhir tahun.

Apa yang menarik program #FreeMarket LZS menggalakkan para pengunjung yang hadir menyumbangkan barangan sama ada yang masih baru ataupun terpakai, untuk diberikan secara percuma kepada mereka yang hadir dan memerlukan.

Ia merupakan satu pendekatan untuk membuat kebajikan yang unik, sekali gus menjadi platform kepada masyarakat untuk berkongsi, di samping membentuk nilai-nilai murni dalam kehidupan.

Turut bersama LZS, adalah 30 orang penyumbang yang turut menyerahkan sumbangan mereka.