FELDA BAYAR ZAKAT HAMPIR RM400 RIBU UNTUK NEGERI SELANGOR



Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah menerima pembayaran zakat perniagaan sebanyak RM397,099 daripada Kumpulan Felda dan Koperasi Permodalan Felda. Pembayaran zakat FELDA itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak di majlis berbuka puasa bersama anggota Kabinet, Menteri Besar dan Ketua Menteri di kediaman rasminya, di Seri Perdana baru-baru ini.

LZS di wakili oleh En Mohamad Amin Ibrahim, Ketua Jabatan Dakwah & Pemasaran telah menerima pembayaran zakat tersebut untuk operasi perniagaan FELDA di negeri Selangor. Pada majlis itu, Perdana Menteri  turut menyampaikan zakat perniagaan Kumpulan Felda dan Koperasi Permodalan Felda (KPF) Berhad kepada 14 buah Pusat Zakat Negeri (PZN). Jumlah keseluruhan bayaran zakat Kumpulan Felda dan KPF bagi 2010 berjumlah RM17.65 juta.

Pembayaran zakat oleh Kumpulan FELDA ini menunjukkan tahap kepatuhan zakat dikalangan syarikat-syarikat  berkaitan kerajaan (GLC) adalah semakin meningkat. Ini kerana selain FELDA, pelbagai GLC lain turut menunaikan kewajiban zakat seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Perusahaan Otomobil Nasional (PROTON), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia Berhad, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan lain-lain.