FAKIR MISKIN DISARAN REBUT PELUANG EKONOMI



Klang – YAD Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Klang Dato’ Setia DiRaja Dato’ Hj. Abdul Ghani bin Pateh Akhir telah menyarankan agar fakir miskin di negeri ini merebut keterbukaan peluang ekonomi yang ada untuk memajukan diri. Beliau menyarankan demikian semasa merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Kewangan Bulanan Wilayah Barat, Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS di Masjid Ar-Rahimiah di sini pada 16 Mac.

Sebelum itu, Ketua Jabatan Operasi Wilayah LZS (MAIS), Sahadan Ishak, telah menjelaskan bahawa LZS (MAIS) kini membuka peluang kepada fakir miskin yang berpotensi untuk menjadi usahawan di bawah Kumpulan Usahawan Asnaf Zakat (KUAZ). KUAZ yang digerakkan oleh LZS (MAIS) kini telah berjaya mencungkil beberapa bakat keusahawanan di kalangan fakir miskin di Selangor.

Dalam majlis itu, seramai 120 orang fakir miskin daearah Klang telah menerima bantuan bulanan berjumlah RM42, 700 iaitu masing-masing menerima antara RM300 ke RM500 setiap seorang. Jumlah bantuan itu merupakan bantuan bagi tempoh dua bulan.

Menurut Shahadan lagi, kaedah pemberian bantuan lama menerusi akaun banyak menimbulkan masalah menyebabkan LZS (MAIS) kembali kepada kaedah pemberian secara terus kepada penerima. Tambah beliau lagi, melalui majlis seperti ini dapat mengeratkan ukhuwwah sesama asnaf dan juga pihak LZS (MAIS) sendiri.

Sahadan turut menambah bahawa Menteri Besar Selangor, Y.A.B Dato’ Sri Dr Mohamad Khir Toyo, telah menjadikan LZS (MAIS) sebagai pusat rujukan rasmi pendataan fakir miskin orang Islam di Selangor. Sehubungan dengan itu katanya, LZS (MAIS) kini sedang giat menjalankan penilaian semula taraf kemiskinan di negeri ini dengan menggunakan kaedah Had Al-Kifayah (nisbah pendapatan pertanggungan) dan juga penilaian terus secara fizikal kepada fakir miskin demi memperoleh data tepat tahap kemiskinan di negeri ini.

Majlis berkenaan turut menyaksikan seramai lima orang asnaf telah berjaya menerima bantuan modal perniagaan kira-kira RM5,000.00 seorang. Mereka ialah Mohd. Sohaimi bin Iskandar, Rosni bt. Abdul, Pariza Hj. Ali, Annum bt. Adnan dan Zaharah bt. Sidin. Di antara perusahaan yang mereka ceburi ialah peruncitan, kedai jahit dan makanan.