ENAM SYARIKAT TUNAI LEBIH RM600 RIBU



Shah Alam–Enam buah syarikat menunaikan zakat perniagaan lebih 600 ribu kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS di sini pada 29 Mei lalu.

LZS (MAIS) yang diwakili oleh YB Dato’ Dr Hj Hasan Hj Mohammad Ali, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal-ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam merangkap Timbalan Pengerusi MAIS menerima zakat perniagaan itu daripada Bank Islam (M) Bhd sebanyak RM300,000.00, Pos Malaysia Berhad (RM109,854.00); Etiqa Takaful (RM67,295.80); Selangor Industrial Corporation Sdn. Bhd. (RM66,106.00), Bank Simpanan Nasional (RM43,000.00) dan HNS Medical Supply (M) Sdn. Bhd., sebanyak RM20,706.65. Kesemuanya menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM606,962.45 di sini hari ini.

Pada majlis yang sama, lima orang penerima telah menerima bantuan zakat yang keseluruhannya berjumlah RM122,000.00. Para penerima itu ialah Muhammad Nor Zemi bin Osman dan Baharuddin bin Johari yang masing-masing menerima bantuan untuk pembinaan rumah berjumlah RM20,000.00 setiap seorang.

Sementara itu, Hussin bin Mat Jam dan Tengku Zainal Rashid bin Tengku Abdul Jalil masing-masing menerima sumbangan berjumlah RM20,000.00 dan RM30,000.00 bagi tujuan perubatan anak masing-masing. Manakala, Hairumin bin Muhidin pula menerima bantuan untuk rawatan jantung beliau sebanyak RM32,000.00.

Pada majlis berkenaan, LZS (MAIS) turut melancarkan Zakat KWSP. Produk ini adalah khusus disediakan kepada para pencarum di kWSP. Ia diharap akan meningkatkan bilangan pembayar zakat dan sekaligus meningkatkan kutipan zakat di negeri ini. Tahun lalu, kutipan zakat LZS (MAIS) adalah RM202.1 juta dengan jumlah pembayar 126 ribu orang.

Turut hadir ialah YAD Dato’ Setia Hj Mohamad Adzib Mohd. Isa, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor dan Haji Ahmad Shahir Makhtar, Pengurus Besar LZS (MAIS).