DYMM SULTAN SELANGOR RASMI IBU PEJABAT BAHARU LZS



SHAH ALAM, 10 Mac 2011 – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj berkenan merasmikan Ibu pejabat Lembaga Zakat Selangor (LZS) di sini hari ini.

Baginda turut mengumumkan nama bangunan ibu pejabat LZS ini iaitu Bangunan Zakat Selangor semasa baginda menyampaikan titah ucapannya.

Selain itu, Baginda Tuanku turut mencemar duli melawat kaunter kutipan dan agihan zakat yang berada di bangunan ini.

Ibu pejabat LZS mula beroperasi sepenuhnya di lokasi baharu yang terletak di Presint Alami, Seksyen 13 bermula 24 Januari lalu.

Perpindahan ini bertujuan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat yang berurusan dengan LZS termasuk pembayar dan penerima zakat.  Antara ciri keselesaan yang disediakan termasuklah kaunter perkhidmatan kutipan dan agihan zakat yang lebih luas dan mesra pelanggan.  Sebelum ini ibu pejabat LZS beroperasi di Bangunan Sultan Idris Shah di Seksyen 5.  Walau bagaimanapun kaunter zakat di bangunan tersebut masih dikekalkan.

Turut hadir dalam majlis perasmian ini, Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa serta Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail.

Leave a Reply