DYMM SULTAN SELANGOR PERKENAN TERIMA ZAKAT LTH RM6 JUTA



Shah Alam – DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima zakat bagi pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS sebanyak RM6,023,908.96 daripada Lembaga Tabung Haji (LTH) di Istana Istana Bukit Kayangan di sini pada 19 Mac lalu.

Zakat tahun berakhir 2007 itu telah diserahkan oleh Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif LTH, Dato’ Ismee Ismail kepada DYMM Sultan Selangor.

Jumlah zakat yang dibayar kepada LZS (MAIS) merupakan jumlah yang tertinggi dibayar oleh LTH berbanding negeri-negeri lain. Bayaran zakat itu adalah berdasarkan bilangan pendeposit LTH di Selangor sepanjang tahun lalu yang berjumlah 641,746 orang.

Sementara itu, LZS (MAIS) dan LTH Selangor akan bekerjasama untuk meningkatkan lagi kutipan zakat dan simpanan deposit di kedua-dua institusi melalui kempen bersama. Kempen ‘menang-menang’ ini merupakan platfom yang terbaik untuk dilaksanakan memandangkan kedua-duanya mempunyai fungsi yang hampir sama memudahkan umat Islam menunaikan rukun Islam, iaitu zakat dan haji.

Turut hadir pada majlis itu, Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato’ Abdul Kalid Ibrahim; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa serta Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid.