DYMM SULTAN SELANGOR BERKENAN SAMPAIKAN SUMBANGAN KEPADA BAKAL JEMAAH HAJI



SHAH ALAM, 25 Ogos 2013 – DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan sumbangan berupa keperluan asas haji iaitu kain ihram, beg pakaian, buku panduan haji dan gel melegakan sakit otot dan sendi di Majlis Penyempurnaan Kursus Perdana Haji bagi Musim Haji Tahun 1434H/2013M bertempat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah baru-baru ini.

Pada tahun ini Lembaga Zakat Selangor (LZS) membekalkan gel khusus bagi melegakan sakit otot dan sendi kepada 3,600 bakal haji dari Selangor.

Di program yang sama, bersempena kursus yang berlangsung selama tiga hari tersebut, LZS turut diberikan slot ceramah bertajuk ‘Zakat Mensucikan Harta’ yang disampaikan oleh Eksekutif Dakwah LZS, Ustaz Mohd Faryzan Subkhi. Selain itu, LZS turut membuka kaunter perkhidmatan zakat bagi memberi kemudahan taksiran dan pembayaran zakat kepada bakal jemaah haji melunaskan kewajipan zakat sebelum menunaikan haji.