DYMM LANCARKAN BUKU KE-3 TERBITAN LZS (MAIS)



Shah Alam – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj berkenan melancarkan buku ke-3 terbitan Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS bertajuk Panduan Haji dan Umrah semasa majlis penutup Kursus Haji Perdana 1427H/ 2006M yang diadakan bertempat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) baru-baru ini.

Buku yang ditulis oleh Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri), Syeikh Al-Maqari Haji Othman ini merupakan hasil daripada pengkuliahan beliau dalam kursus haji bersiri yang diadakan di Masjid Negeri sejak tahun 2000 sehingga kini.

Buku ini memuatkan penerangan dan penjelasan tentang ibadah haji dan umrah secara berperingkat agar dapat membantu bakal jemaah haji mempersiapkan diri sebelum mengerjakan ibadah haji kelak.

Turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamad Khir Toyo, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat, Y.B Dato’ Haji Abd. Rahman Hj. Palil dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Y.A.D Dato’ Setia Hj. Mohamad Adzib Mohd Isa.