DELEGASI YPKDT LAWAT LZS (MAIS)



Shah Alam–Delegasi daripada Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT), Johor telah mengadakan lawatan selama sehari ke Lembaga Zakat Selangor LZS (MAIS) pada 16 Mei bagi mendapatkan pendedahan tentang pengurusan zakat terutamanya daripada segi agihan yang dilaksanakan di Selangor.

Delegasi seramai 14 orang itu diketuai oleh Ketua Eksekutif YPKDT, Haji Norizan Kulop. Menurut beliau, lawatan tersebut bertujuan mengetahui dengan lebih dekat lagi peranan LZS (MAIS) di dalam usaha membebaskan golongan asnaf fakir dan miskin khususnya golongan ibu tunggal daripada belenggu kemiskinan.

“Melalui lawatan ini, kami juga dapat mencari idea-idea baru dalam usaha membantu golongan yang berpendapatan rendah khususnya ibu-ibu tunggal,” jelas beliau.

Delegasi itu telah diberi taklimat tentang organisasi LZS (MAIS) oleh Pengurus Jabatan Kewangan dan Pentadbiran LZS (MAIS), Aidi Munawir Ahmed Shukri.

Selain taklimat, para delegasi turut dibawa melawat penempatan berkelompok fakir dan miskin di Desa Ehsan, Jeram, Kuala Selangor. Mereka turut dibawa melawat projek-projek ekonomi LZS (MAIS) di sekitar Klang, Shah Alam dan Petaling Jaya.