DELEGASI LAWATAN KERJA KERAJAAN NEGERI SABAH LAWAT LZS (MAIS)



Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS terus mendapat pengiktirafan apabila dikunjungi oleh delegasi lawatan kerja kerajaan Negeri Sabah pada 20 Februari ke ibu pejabat LZS MAIS di Bangunan Sultan Idris Shah, di sini.

Delegasi seramai 12 orang itu telah diketuai oleh Menteri di Jabatan Ketua Menteri Negeri Sabah, Y.B Datuk Nasir Tun Hj. Sakaran.

“Tujuan lawatan ini adalah untuk mendapatkan penerangan lengkap berkenaan pengurusan zakat di Selangor dan mempelajari sistem kutipan serta agihan zakat di Selangor,” ujar Datuk Nasir dalam ucapan ringkas beliau.

“Selain itu kami juga ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pelaksanaan skim pembayaran zakat melalui potongan gaji bagi kakitangan kerajaan di negeri Selangor melalui pekeliling arahan kerajaan di samping mengeratkan hubungan dua hala antara kerajaan negeri Sabah melalui MUIS dan kerajaan negeri Selangor melalui LZS (MAIS),” ujar beliau lagi.

Turut hadir pada majlis tersebut, Ahli EXCO Negeri Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Belia & Mesra Rakyat, Y.B Dato’ Haji Abd. Rahman Hj. Palil, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Y.A.D Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa dan Timbalan Mufti Negeri Selangor, Sahibus Samahah Dato’ Hj Abdul Majid bin Omar.

Hadir Sama, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS MAIS, Prof.Madya Dr. Hailani Muji Tahir, Pengurus Jabatan Pembangunan Asnaf LZS MAIS, Aidi Munawir Ahmed Shukri dan Pengurus Jabatan Dakwah dan Kutipan LZS MAIS, Adibah Abd Wahab.