D’ASNAF KRAF GIAT PROMOSIKAN PRODUK KRAF ASNAF FAKIR MISKIN



Tarikh : 5/5/2009
Penulis : Editor

SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) melalui D’Asnaf kraf menggiatkan promosi memperkenalkan produk kraf yang dihasilkan oleh 173 asnaf fakir miskin di Selangor dengan mengadakan potongan harga jualan sehingga 50 peratus. Promosi diadakan di ‘Show Room’ D’Asnaf Kraf di No.23 Jalan Marathon 13/31. Seksyen 13, di sini dan telah dilancarkan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Hj Mohamad Adzib b. Mohd Isa.

Promosi selama sebelas hari bermula 23hb April 2009 sehingga 3hb Mei 2009 ini menjual pelbagai produk antaranya pelbagai jenis bakul anyaman, pasu bunga, pelbagai bentuk bekas telur, bunga tekap, perhiasan wanita dan sebagainya. Lebih menarik produk kraf ini dihasilkan menggunakan kertas terbuang iaitu kertas surat khabar dan majalah lama.

D’Asnaf kraf merupakan salah satu bentuk program pembangunan ekonomi asnaf fakir miskin yang bertujuan memberi ruang pekerjaan kepada asnaf fakir miskin untuk berdikari. Ia diusahakan dengan konsep ‘Homebase’ sebagai salah satu usaha untuk menambah pendapatan asnaf fakir dan miskin di Selangor. Peserta-pesertanya terdiri dari kaum wanita yang majoritinya ibu tunggal.

Projek ini telah dimulakan secara kecil-kecilan sejak tahun 2003 dan produk yang mula-mula dihasilkan adalah kraftangan daripada kertas terbuang (suratkhabar dan majalah). Kini produk D’Asnaf Kraf diperluaskan dengan menghasilkan produk seperti aksesori wanita, bunga tekap, perhiasan dinding, tasbih, cenderamata dan sebagainya.

LZS sentiasa mempelbagai rancangan untuk meningkatkan lagi pengeluaran produk-produk asnaf fakir miskin bagi memastikan mereka sentiasa boleh berdikari.