D.Y.M.M SULTAN SELANGOR LANCARKAN BUKU KATALOG DWI BAHASA DAN PAMERAN AZ-ZAKAH



KUALA LUMPUR, 15 Jun 2014 – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj hari ini berkenan melancarkan buku katalog dwi bahasa dan pameran sulung Lembaga Zakat Selangor (MAIS) bertajuk Az-Zakah: Semangat, Kesedaran dan Kewajipan [Pencapaian Lembaga Zakat Selangor (MAIS)] bertempat di Muzium Kesenian Islam Malaysia di sini.

Ia merupakan kerjasama dengan Muzium Kesenian Islam Malaysia bersempena dengan ulang tahun ke-20 penubuhan LZS. Pameran ini berlangsung selama tiga bulan bermula pada 15 Jun hingga 16 September 2014.

Sementara itu, buku katalog dwi bahasa ini memuatkan sejarah zakat bermula dari abad pertama Islam hingga hari ini. Ia mengajak pembaca memahami kewajipan berzakat, di samping menerangkan peranan LZS sebagai institusi yang menguruskan kutipan dan agihan zakat di Selangor.

Dengan adanya buku katalog dan pameran ini, secara tidak langsung akan memberi peluang kepada orang ramai untuk mengenali LZS, di samping menjadi platform dakwah untuk meningkat kesedaran umat Islam tentang kewajipan mengeluarkan zakat.

Selain itu, buku katalog dan pameran ini turut menjadi medium perkongsian maklumat tentang usaha yang dilaksanakan oleh LZS dalam mengutamakan pengeluar zakat dan menyantuni asnaf zakat terutamanya di negeri Selangor.

Hadir sama dalam majlis pelancaran ini, Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa serta Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail.