D.Y.M.M SULTAN SELANGOR BERKENAN LANCAR LEMBAGA ZAKAT SELANGOR



Banting — Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan melancarkan logo baru Pusat Zakat Selangor (PZS) MAIS yang kini dikenali sebagai Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS di Masjid As-Solihin di sini pada 31 Januari sebagai tanda PZS MAIS telah dinaik taraf kepada institusi zakat yang lebih berkredibiliti dan diyakini.

Baginda yang diiringi oleh Pengerusi Jawartankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat Negeri Selangor, Y.B Dato’ Haji Abd Rahman Haji Palil, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ramlan Othman dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa mahu intitusi berkenaan lebih tekun bekerja dan beramanah.

“Beta sungguh gembira apabila dimaklumkan bahawa kutipan zakat di Selangor telah meningkat kepada RM133 juta pada tahun lalu dan ia merupakan kutipan yang memberangsangkan,” titahnya.

“Kakitangan Majlis Agama Islam Selangor selepas ini haruslah bekerja dengan lebih gigih dan jangan sia-siakan kepercayaan masyarakat yang sedia ada,” titah baginda lagi.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1427 dan pelancaran LZS MAIS.