BERKAT CUP 2013: LZS JADI TUAN RUMAH KEJOHANAN



SHAH ALAM, 6 September 2013 – Sebanyak 12 pasukan mewakili institusi zakat negeri-negeri berentap bagi merebut piala pusingan Kejohanan Berkat Cup 2013 yang berlangsung pada 7 dan 8 September ini.

Buat pertama kalinya, Lembaga Zakat Selangor (LZS) menjadi tuan rumah sempena kejohanan tersebut. Upacara cabutan undi perlawanan turut diadakan dalam satu Majlis Makan Malam dan Jamuan Hari Raya bagi meraikan pasukan yang menyertai kejohanan bertempat di Dewan Guthrie, Bukit Jelutong di sini hari ini.

Kejohanan Berkat Cup ini mula diperkenalkan pada tahun 2003 dan diadakan setiap dua tahun sekali. Ia bertujuan merapatkan silaturrahim yang terjalin antara institusi zakat negeri-negeri melalui penglibatan dalam aktiviti sukan. Dalam Kejohanan Berkat Cup 2011 lalu, Pusat Zakat Melaka telah dinobatkan sebagai juara.

Turut hadir, Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Mohd Misri Idris, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof serta bekas pemain kebangsaan, Zainal Nordin dan Anuar Abu Bakar.