BERHATI-HATI DENGAN INDIVIDU ATAU PERTUBUHAN YANG KUTIP ZAKAT TANPA TAULIAH



 

SHAH ALAM, 4 Jun 2016 – Orang awam dinasihatkan supaya berhati-hati dengan individu atau pertubuhan yang menjalankan aktiviti kutipan zakat di Negeri Selangor tanpa mendapat kebenaran dari Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Sehubungan dengan itu, MAIS telah melantik Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebagai amil dan pentadbir bagi menguruskan semua perkara berkaitan kutipan dan agihan zakat di Selangor berdasarkan kepada Peraturan-Peraturan Zakat dan Fitrah (Selangor) 2012.

Bagi tujuan menyelaraskan aktiviti kutipan dan agihan zakat, Zakat Selangor telah melantik 13 penolong amil institusi pengajian tinggi, 2,569 penolong amil fitrah, enam penolong amil insititusi pendidikan Islam, 63 penolong amil padi, 16 ejen syarikat, 30 ejen firma dan percukaian, 19 ejen bank dan pejabat pos. Zakat Selangor akan sentiasa mengemas kini maklumat berkenaan ejen dan penolong amil dari semasa ke semasa di laman sesawang Zakat Selangor, http://www.zakatselangor.com.my.

Manakala penolong amil fitrah dan padi boleh dikenal pasti melalui surat perlantikan dan kad tauliah sah yang dikeluarkan oleh Zakat Selangor.

Oleh yang demikian, mana-mana individu atau pertubuhan yang didapati melakukan kesalahan tersebut, boleh didakwa di bawah peruntukan Seksyen 37 Enakmen Jenayah Syariah Negeri 1995 yang menetapkan pesalah yang memungut zakat secara tidak sah boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Justeru itu, orang ramai disaran untuk melaporkan sebarang aktiviti pungutan zakat oleh individu yang tidak dilantik atau diberi kuasa oleh MAIS atau Zakat Selangor.