BENGKEL ZAKAT PERNIAGAAN GALAK USAHAWAN TAKSIR ZAKAT SENDIRI



SHAH ALAM, 5 Julai 2012 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengambil inisiatif menggalakkan usahawan dan golongan korporat menaksir sendiri zakat perniagaan dengan menganjurkan Bengkel Zakat Perniagaan bertempat di Shah Alam Convention Centre (SACC) di sini hari ini.

Melalui bengkel ini, seramai 150 peserta terdiri daripada 95 syarikat diberi pendedahan tentang pengurusan zakat di samping kefahaman kiraan zakat perniagaan.

Bengkel dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif KOPSYA ANGKASA merangkap Ahli Jawatankuasa Kutipan LZS, Dato’ Syed Mohd Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa. Beliau mengupas tajuk ‘Zakat Perniagaan: Pengenalan dan Kaedah Taksiran’. Manakala, Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Abdul Aziz Abu Bakar pula membentangkan tajuk ‘Hubung Kait Sistem Percukaian Korporat & Kewajipan Zakat Perniagaan’.

Dalam perkembangan berkaitan, sehingga bulan Jun 2012, LZS berjaya mengutip zakat perniagaan sebanyak RM28,715,211.20 melibatkan 2,562 pembayar terdiri daripada syarikat dan individu.

Bengkel dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Syariah LZS, Prof. Madya Dato’ Mokhtar Shafie. Hadir sama Pengurus Besar Kutipan, Sahadan Ishak.