BENGKEL ZAKAT KORPORAT 2006



Shah Alam – Bengkel Zakat Korporat yang berlangsung selama setengah hari anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS baru-baru ini berjaya mengumpulkan wakil-wakil daripada syarikat korporat yang terpilih bagi memberi pendedahan kepada mereka dalam kaedah terkini taksiran zakat perniagaan.

Bengkel yang dimulakan dengan sesi prinsip dan pengenalan umum taksiran zakat perniagaan telah disampaikan oleh Eksekutif Unit Perniagaan, Iswaridin Derus dan diikuti dengan latihan amali serta soal jawab.

Menurut Pengarah Program, Mohamed Syahril Haji Zainol, sambutan yang diterima pada kali ini menggalakkan terutamanya dengan pertambahan penyertaan. Ujarnya lagi, dengan adanya penganjuran bengkel seperti ini dilihat dapat mewujudkan hubungan erat antara LZS (MAIS) dengan syarikat korporat di samping memberi info terkini berkenaan zakat.

Kebanyakan mereka yang hadir pada hari itu terdiri daripada Pengurus Besar syarikat, Pengarah Kewangan, auditor daripada beberapa buah syarikat seperti Sapura Industrial Bhd, Cybotics Corporation Sdn Bhd, Kembara Abadi Sdn Bhd, Selangor Industrial Corporation dan sebagainya.

Salah seorang peserta yang ditemui selepas bengkel, Norlelawati Kamsah berkata, “Apa yang menarik tentang bengkel ini ialah kami turut dimaklumkan tentang informasi agihan dan perkembangan terkini LZS (MAIS). Kami amat berharap bengkel ini dapat diteruskan dengan lebih kerap lagi pada masa hadapan.”

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Jabatan Dakwah dan Kutipan, Puan Hajjah Adibah Abdul Wahab.